Tarikan Taman Tema & Zoo Di Johor
Zoo Johor, Johor Bahru
Sebuah zoo yang terletak di tengah pusat bandaraya Johor Bahru ini mula dibuka pada tahun 1928. Antara salah satu zoo tertua di Malaysia, zoo ini menempatkan lebih 100 spesis haiwan termasuk binatang eksotik dan terancam. Antaranya ialah gajah, singa, gorila, burung flamingo, dan lain-lain. Anda berpeluang untuk menonton pertunjukan haiwan yang pasti menghiburkan di sini. Terdapat berbagai-bagai gerai makanan di sini untuk memastikan pengunjung zoo dapat berehat dan mengisi perut semasa berada di dalam zoo. Zoo Johor ini pastinya merupakan tempat yang amat sesuai untuk anda bercuti bersama keluarga.
Lokasi: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari, 8 pg – 6 ptg
Harga Tiket: Dewasa: RM2, Kanak-kanak: RM1
Ladang Burung Unta, Kota Tinggi
Terletak di Teluk Ramunia, ladang burung unta ini merupakan rumah kepada lebih 100 ekor burung unta. Uniknya, penjaga burung unta di sini akan menjadi pemandu pelancong peribadi untuk setiap pengunjung yang datang sini. Pengunjung akan dapat menikmati layanan istimewa dan melawat seluruh ladang ini. Sudah pastinya, pengalaman menunggang burung unta menjadi aktivit wajib bila bertandang ke sini. Pengunjung dapat menunggang burung unta dengan membuat bayaran tambahan. Anda tidak perlu risau kerana penjaga burung unta akan sentiasa berada di sisi anda untuk memastikan keselamatan anda terjaga. Selain itu, terdapat kedai cenderamata di ladang ini untuk anda buat sebagai kenangan.
Lokasi: EMR 15 Teluk Ramunia, Kota Tinggi
Waktu Operasi: 10 pg – 6 ptg
Harga Tiket: Dewasa: RM12, Kanak-kanak: RM8
Taman Buaya Teluk Sengat, Kota Tinggi
Dibuka sejak 1979, taman buaya kini menempatkan lebih 1000 ekor buaya. Anda berpeluang untuk melihat pelbagai jenis buaya di sini malahan dikatakan terdapat buaya yang sudah berusia lebih 100 tahun. Di samping itu, terdapat juga pertunjukan buaya di sini di mana penjaga buaya akan memberi makanan kepada buaya-buaya di dalam sangkar dengan jarak yang dekat. Untuk pengalaman yang lebih menerujakan, anda boleh memegang sendiri anak buaya yang tidak berbahaya. Anda boleh membelai mereka dan menangkap gambar bersama mereka. Dan untuk melengkapkan perjalanan anda di sini, anda boleh berkunjung ke gerai cenderahati di sini.
Lokasi: Lot 1289 & 1290, Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi
Waktu Operasi: 9 pg – 6 ptg
Harga Tiket: Dewasa: RM8, Kanak-kanak: RM4
UK Agro Resort, Kluang
Sebuah ladang ternakan kambing yang juga pusat peranginan ini merupakan salah satu ladang kambing terbesar di Malaysia. Berkeluasan lebih kurang 100 ekar, ladang ini mengandungi lebih 4000 ekor kambing dan biri-biri di samping terdapat haiwan lain seperti rusa dan burung unta. Pelbagai kemudahan disediakan di resort ini seperti chalet, dorm, restoran, dan bilik persidangan.
Resort ini menyediakan bermacam-macam pakej pelancongan pada harga yang berpatutan. Selain itu, setiap pakej juga mempunyai keistimewaan sendiri. Terdapat pelbagai aktiviti disediakan di dalam pakej-pakej ini antaranya ialah lawatan ke ladang kambing dan biri-biri menaiki kereta kuda, lawatan ke ladang rusa, dan lawatan ke kilang pemprosesan bulu biri-biri. Dan yang lebih menarik, resort ini telah menjalinkan kerjasam dengan penduduk sekitar untuk menjalankan Projek Felda Ayer Hitam Homestay di mana lebih 120 rumah penduduk tempatan dijadikan sebagai rumah tumpangan untuk pengunjung resort ini yang inginkan suasana kampung.
Lokasi: Plot 8, Project Pertanian Moden Kluang, Jalan Batu Pahat, Kluang
Waktu Operasi: Setiap hari, 9 pg – 5 ptg
Harga Tiket: Bergantung kepada pakej anda
Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi
Ladang buah-buahan tropika yang berkeluasan lebih 100 ekar ini menawarkan pengalaman kepada para pengunjung untuk mengenal dengan lebih dekat akan kekayaan buah-buahan tempatan. Mempunyai lebih 100 jenis buah-buahan yang segar, ladang ini juga menyediakan zoo mini, kolam ikan koi, dan lain-lain tarikan. Pengunjung berpeluang untuk memilih buah pilihan sendiri sambil dibantu oleh staf ladang. Antara buah-buahan berkualiti tinggi yang terdapat di sini ialah durian, durian belanda, jambu madu, jambu batu, limau madu dan berbagai-bagai lagi. Terdapat pelbagai pakej lawatan disediakan di sini, anda boleh memilih untuk menyertai lawatan separuh hari atau bermalam di sekitar chalet yang disediakan.
Lokasi: no. 92, 82200 Kota Tinggi, Johor
Waktu Operasi: 9 pg – 6.30 ptg
Harga Tiket: RM10
Kluang Coffee Powder Factory, Kluang
Kilang yang diasaskan pada tahun 1966 di Jalan Mersing ini dipindahkan ke lokasi sekarang pada tahun 2003 bagi menampung pemintaan peminat kopi ini. Pengunjung berpeluang untuk merasa kopi yang dibancuh segar dengan menggunakan bijian kopi dari sekitar Johor mahupun dari Vietnam dan Amerika Barat. Di samping itu, anda boleh melihat dengan lebih dekat pemprosesan bijian kopi untuk ditukar menjadi serbuk kopi dengan melawat kilang kopi ini. Untuk pengetahuan anda, kopi ini merupakan kegemaran Sultan Johor apabila pada setiap bulan, kopi ini dihantar ke istana untuk dihidangkan ketika majlis rasmi diadakan.
Lokasi: 76, Jalan Besar, Kampung Yap Tau Sah, Kluang
Waktu Operasi: 8 pg – 5 ptg
28. Legoland Malaysia Resort, Johor Bahru
Siapa yang tidak kenal dengan permainan Lego. Permainan yang menjadi kegilaan di zaman kanak-kanak kini telah diterjemahkan sebagai taman tema permainan yang amat menyeronokkan. Legoland Malaysia merupakan Legoland pertama di Asia, dibuka pada tahun 2011 dan sehingga kini menarik lebih ribuan pengunjung setiap hari. Taman tema yang juga mempunyai pusat penginapan sendiri menawarkan lebih 70 daya tarikan dan aktiviti menyeronokkan. Antaranya ialah tunggangan (rides) yang terdiri daripada Dragon’s Apprentice dan Project X. Terdapat juga gelongsor air yang amat menyeronokkan seperti Lego Slide Racer dan Brick Blaster.
Tidak cukup dengan itu, terdapat Miniland di mana tempat ini menayangkan mini monumen terkenal yang dibina dengan Lego seperti KLIA, Putrajaya, Gerbang Istana Sultan Johor, dan macam-macam lagi. Untuk pengunjung yang ingin bersantai, anda boleh menaiki kereta api Lego yang akan melalui setiap pelusuk Legoland Malaysia. Kepada pengunjung yang ingin menginap di sini, terdapat hotel disediakan iaitu Legoland Hotel. Keistimewaan diberikan kepada penginap di hotel ini adalah mereka akan mendapat akses istimewa untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu di samping dapat menghadiri pertunjukan Lego yang tidak ada di Legoland. Terletak 10 minit daripada bandaraya Johor Bahru, tidak hairanlah Legoland Malaysia dapat menarik makin ramai pelancong saban hari.
Lokasi: Jalan Legoland, Medini, Nusajaya, Johor Bahru
Waktu Operasi: 9 pg -7 ptg
Harga Tiket: Bergantung kepada pakej anda
Puteri Harbour Indoor Park, Johor Bahru
Terletak di Nusajaya, kawasan yang makin pesat membangun di dalam Johor Bahru, bangunan 4 tingkat ini mengandungi tarikkannya yang tersendiri khususnya buat kanak-kanak. Merupakan taman tema, setiap tingkat di sini mempunyai temanya yang tersendiri. Di aras tanah, terdapat pelbagai café yang bertemakan superhero dan watak kartun.
26. Sanrio Hello Kitty Town, Johor Bahru
Terletak di tingkat satu di Puteri Harbour Indoor Park, ia merupakan taman tema Hello Kitty pertama yang dibuka di luar negara Jepun. Kawasan yang lebih digemari oleh kanak-kanak perempuan, tarikan utamanya sudah pastilah Kitty’s House. Rumah yang dihias seakan-akan rumah Hello Kitty ini pasti dapat memberi keseronokan kepada anak-anak anda. Terdapat juga studio untuk membuat biskut dan barang kemas bertemakan Hello Kitty. Selain itu, ibu bapa boleh serta turut dalam Black Wonder Game di mana peserta perlu menyelesaikan beberapa teka teki dengan menggunakan petunjuk yang telah disediakan.
Lokasi: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor
Waktu Operasi: 10 pg – 6 ptg
Harga Tiket: RM85
The Little Big Club, Johor Bahru
Melengkapkan tingkat dua dan tiga di Puteri Harbour Indoor Park ialah taman tema yang bertemakan watak kartun kanak-kanak yang terkenal. Di tingkat 2, pengunjung dapat bermain bersama Pingu, Barney, Bob the Builder, dan Angelina. Siapa saja yang tidak kenal dengan kartun Pingu dengan igloo nya, Barney dengan tarian dan nyanyiannya, dan Bob the Builder dengan jentolaknya yang boleh bercakap. Manakala tingkat 3 yang bertemakan Thomas and Friends melengkapkan pengalaman manis untuk kanak-kanak. Thomas the Train, menunggang kereta api mini ini ialah tarikan yang paling terkenal di tingkat ini. Terdapat juga mini ferris wheel yang bertemakan watak kartun Thomas. Di samping itu, terdapat sebuah restoran di sini yang dinamakan Lat’s Place bersempena dengan artis komik Malaysia yang terkenal iaitu Lat.
Lokasi: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor
Waktu Operasi: 10 pg – 6 ptg
Harga Tiket: RM125
Angry Birds Activity Park, Johor Bahru
Masih tidak cukup dengan Lego dan Hello Kitty, sebuah lagi taman tema kanak-kanak yang bertemakan permainan animasi terkenal, Angry Bird juga dibuka di Johor Bahru. Dibuka di Komtar JBCC, taman hiburan ini mengandungi lebih sedozen permainan untuk kanak-kanak. Antaranya ialah Red’s Jungle Run, permainan ini dibina seperti permainan animasi Angry Bird sendiri. Oleh itu para pengunjung dapat bermain permainan ini dalam kehidupan sebenar sambil mengalami perasaan menjadi watak-watak dalam permainan tersebut. Tidak cukup dengan itu, di kawasan South Beach, anda boleh bermain permainan Angry Bird ini di skrin besar sambil menonton filem Angry Bird secara percuma. Terdapat juga restoran dan kedai cenderamata disediakan di sini.
Lokasi: Level 3, Komtar JBCC, Johor Bahru City Centre, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pg – 10 ptg
Harga Tiket: Warganegara (RM60) | Warga Asing (RM75)
23. Kuso Trick Art Gallery, Johor Bahru
Galeri seni 3D yang terletak agak tersembunyi di Johor Bahru mula dibuka apabila pengasasnya mendapat idea setelah pulang dari pertunjukan 3D di Korea dan China. Sesuai untuk pengunjung yang suka bergambar, galeri ini menawarkan pelbagai lukisan seni yang seakan-akan benar. Anda boleh bergambar dalam pelbagai gaya di samping menggunakan prop yang anda bagi mendapatkan gambar yang bermutu untuk anda muat naik dalam laman sosial anda. Terdapat pelbagai tema lukisan di sini antaranya ialah komedi, seram, dan romantik. Para pengunjung akan diberikan taklimat ringkas oleh kakitangan galeri ini sebelum memulakan jelajah mereka.
Lokasi: No 83-85, Jln Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru
Waktu Operasi: 11 pg – 9 ptg
Harga Tiket: Dewasa (RM20), Warga Emas: (RM15)
Dinosaur Alive Water Theme Park, Johor Bahru
Dikendalikan oleh KSL Hotel & Resort, taman tema yang mula beroperasi pada 2013 ini bertemakan dinosaur. Para pengunjung akan disambut dengan ngauman Tyrannosaurus Rex. Terdapat beberapa gelongsor air yang agak kecil dan bersesuian untuk kanak-kanak. Di samping itu, terdapat juga replika dinosaur yang mencapai ketinggian 85 kaki. Antara tarikan lain di sini ialah terdapat dinosaur animasi yang akan bergerak secara tiba-tiba apabila ada pengunjung yang datang berdekatan. Buat pengunjung yang datang membawa keluarga ke sini, jika anak anda tidak berhati-hati, anak anda mungkin terkejut dan akan menangis.
Lokasi: Tingkat 7, KSL Hotel & Resort, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari
Harga Tiket: Tetamu hotel: Percuma, Tetamu luar: RM50
Taman tema & zoo lain di Johor – Wet World (Batu Pahat), Tropical Village (Kluang), Nanyan Aquarium (Kulai)
sumber rujukan: http://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-johor/
No comments:
Post a Comment